Tuesday, November 30, 2010

kalau boleh semua orang kami nak bantu

"hello, ni bersamamu ke?" suara wanita yang amat terdesak bunyinya bertanya pada saya.  "ya, siapa ni?" saya membalas soalannya dengan soalan pula. 

"saya mariam (nama samaran).  suami saya sakit teruk, saya nak bantuan bersamamu...saya perlu duit".  jelas mariam. 

faham dengan panggilan dan permintaan sebegini, saya bertanya lagi, "boleh saya tahu apa masalah utama, sakit apa atau bantuan yang macamana yang puan perlu?"  walaupun ketika itu saya amat sibuk merakamkan kisah di jitra, kedah.  

sedikit sebanyak ia mengganggu konsentrasi tugasan, saya cuba juga melayan mariam.

"suami saya, sakit jantung, kencing manis, buah pinggang, anak-anak sekolah, saya nak bantuan bersamamu RM16,000 je", jelas mariam.

"oh, macam ni puan, saya masih kat kedah, boleh tak nanti bila selesai tugas saya kat sini, saya telefon puan balik?"

"tolonglah...saya nak jumpa orang bersamamu juga, saya dah kat sri pentas ni, kesianlah kat saya, saya datang dari jerantut...saya sewa teksi lagi..."

terkejut saya dengan kedatangan tiba-tiba tetamu yang tak diundang.  dalam kepala saya ligat mencari siapa yang boleh saya wakilkan.   malangnya, semua sibuk dengan tugasan, lagipun kami kekurangan kakitangan. 

"macam ni lah puan, apa kata puan sabar dulu, saya nak bantu pun tak dapat, lagipun semua orang tengah sibuk nak habiskan kerja masing-masing, tunggulah, nanti saya balik, bila saya lapang sikit saya telefon ye", jelas saya lagi,  cuba menenangkan mariam.

"tapi, saya datang dari jauh ni, banyak duit saya habis"  desaknya lagi.

"kenapa puan datang terus ke sana?.  kenapa tak telefon dulu?.  Lagipun kami tak dapat nak beri bantuan terus macam tu saja.  Yang beri bantuan pun kalau ada pihak tertentu yang simpati, jadi dapatlah bantuan tu". 

"Oh...jadi, saya tak dapatlah duit hari ni?", tanyanya lagi. 

nampaknya, mariam dah salah faham.  tanpa buang masa lagi, sayapun menjelaskan satu persatu prosedur dan peranan kami yang sebenar.  

mungkin rasa tidak puas hatinya, mariam mendesak menyuruh kami ke jerantut dengan kadar segera. 

saya biar saja mariam meluahkan perasaannya...desakkannya...hingga suasana sepi seketika.  hingga dia puas.

pada masa yang sama juga, subjek saya di jitra tertunggu-tunggu arahan selanjutnya... serba salah saya.  semua yang terlibat memandang ke arah saya.

nak buat macam mana, kalau saya tak peduli dengan panggilan tersebut pasti dia menganggap saya tidak peduli.

bila orang terdesak, saya perlu juga mendengar, jika tidak, ada yang salah faham dan menuduh yang bukan-bukan. 

ada juga yang tidak sabar dan tidak faham situasi kami yang perlu menyiasat keadaan sebenar keluarga yang dilaporkan.

bagaimanapun, kami perlu banyak bersabar.  kami pernah dimarah, disindir dan pelbagai lagi tuduhan tidak berasas.

kalau ikut hati, semua orang kami nak tolong.  tapi, kita kena juga pilih mereka yang amat memerlukan bantuan. 

susah nak diterangkan...tapi...diharap jangan salah faham dan menuduh yang bukan-bukan.  kalau boleh jangan menuding jari... kalau boleh kotorkan jari dengan memberi bantuan kepada keluarga yang memerlukan.  selesaikan dan beri jalan untuk mereka. 

cakap memang senang... apatah lagi kalau menuduh...

Friday, November 26, 2010

bantu?..

kisah azri abdullah, mangsa asid mendapat maklum balas positif daripada penonton.  ramai yang ingin memberi sumbangan kepada azri.  ramai juga yang terharu dengan pengorbanan sahabat baik azri.  mereka sanggup berkorban dan menjaga keperluan azri.  itulah teman sejati. teman menangis dan teman ketawa.

kami mendapat beberapa 'calon' kes bersamamu daripada orang ramai.  terima kasih di atas keprihatinan mereka.  ada juga email yang ditulis sendiri oleh mereka yang ingin bantuan daripada kami. 

ada juga dengan nada sinis mendesak kami memberi bantuan kepada keluarga yang dianggap 'layak' oleh mereka.

inilah masalahnya.  memang la ramai yang memerlukan bantuan.  kami memilih berdasarkan beberapa kriteria. ibu atau bapa tunggal yang terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki dan pada masa yang sama mengurus anak-anak, pendapatan pula kurang dan melakukan beberapa kerja bagi menampung perbelanjaan harian.  ahli keluarga yang sakit kronik, memerlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi.  mereka yang tiada tempat tinggal dan menumpang di merata tempat.  itu pun kami lihat juga apa masalah utama mereka. serta beberapa lagi kriteria munasabah.

ingin kami luahkan di sini.  kita rakyat malaysia memang amat bertuah.  bumi subur.  jika berusaha bersungguh-sungguh, kita tidak akan hidup merempat.

pengalaman semasa di kem pelarian palestin di beirut, lubnan amat menginsafkan kami.  walaupun rakyat pelarian palestin memiliki ijazah, mereka tidak boleh bekerja bersandarkan kelulusan yang ada.  lebih 70 pekerjaan diharamkan buat mereka.  tapi, mereka 'survive' juga.  rumah diduduki memang tidak sesuai untuk penempatan.  bahaya dengan wayar yang berselirat dengan paip air.  silap haribulan nyawa melayang.

mereka tidak meminta-minta.  mereka redha dengan ketentuan Allah.  mereka berusaha juga untuk menampung kehidupan sehari-harian.  amat serba kekurangan.

malangnya, yang meminta kami memberi bantuan kepada keluarga di malaysia ni siap menyindir...kami serta mendesak pula supaya keluarga yang dicadangkannya dibantu. 

memanglah kalau boleh semua orang kami nak bantu.  tapi, kita bantu mereka yang tidak menjadikan 'kemiskinan' sebagai alasan.  kita paparkan kisah mereka yang ingin keluar daripada kepompong kemiskinan, majukan diri tidak mengira apapun.  sanggup berkorban masa dan tenaga demi keluarga.  bekerja macam-macam jenis yang melangkaui kudrat yang ada.  tidak hanya berserah saja kepada apa yang ada.

bersabarlah.  mungkin kita fikir keluarga yang kita cadangkan tu daif dan perlu ditolong.  tapi barang diingat, ada lagi keluarga yang lebih memerlukan bantuan dan amat daif. 

kita mungkin tidak ada rumah sempurna, tapi sekurang-kurangnya kita ada tempat berteduh. rakyat palestin hilang tanah dan merempat di negara orang.  tiada kebebasan.  kita mungkin kekurangan wang, tapi, kita masih mampu menjamah nasi.  kita mungkin tiada pekerjaan, tapi di malaysia banyak cara mencari rezeki, malah, sampah pun adalah 'duit'.  kita mungkin tiada kasut, tapi sekurang-kurangnya kita sihat tubuh badan, tidak cacat. kaki sempurna.  kita mungkin hilang sebelah kaki, tapi, kita ada lagi satu kaki yang membolehkan kita bergerak.  kita mungkin sakit tapi, kita dah diberi peluang oleh Allah ketika sihat dulu. 

Biasalah, manusia memang tidak sempurna, kecuali Rasulullah.
Kita bandingkan diri kita dengan Nabi Muhammad S.A.W.  Rumah kita dengan rumah Nabi Muhammad.  Harta kita dengan harta Nabi Muhammad.  Hati kita dengan hati Nabi Muhammad.  Moral kita dengan moral Nabi Muhammad.  Memang jauh...tapi...contohilah Kekasih Allah Muhammad.

Ketika hayat terakhirpun...nabi tidak menyebut nama isteri atau anak cucunya.  Mulutnya hanya memanggil-manggil kita...umatnya...ummati...ummati...ummati...

Mungkin kita rasa kita susah, tapi ada lagi yang lebih susah dariapda kita.  Kita mungkin rasa kita sakit teruk, tapi ada lagi yang sakit kronik daripada kita.  Kita mungkin rasa kita tidak bernasib baik..tapi ada lagi insan yang kekurangan daripada kita... 

Mohonlah kepada Allah...berdoalah.  Bersabarlah.  Jangan bersangka buruk kepada orang, apatah lagi kepada Allah.  Semua yang berlaku kepada kita ada hikmah di sebaliknya. 

Ajal, jodoh dan rezeki semuanya ditentukan Allah.  Kita boleh mengubah takdir dengan berdoa dan berusaha.

Belajarlah daripada ustaz atau alim ulama.  Insyaallah ilmu Allah ini luas dan lagi dekat kita dengan Allah...lagi manis rasanya. Manis pula ada bermacam jenis.




Friday, November 12, 2010

syukur

alhamdulillah akhirnya banjir di kedah semakin surut.  ramai mangsa banjir dah pulang ke rumah masing-masing.  aidil adha semakin dekat.  mangsa  pula bertungkus lumus membersih, membuang dan menyusun semula perabot atau apa saja yang dapat diselamatkan.

kepada mangsa korban banjir, takziah.  kami faham akan kehilangan ahli keluarga tanpa diduga.  kesan banjir 2010 ini bagaikan tsunami yang pernah melanda negara kita pada 2006 dulu. melihatkan kesedihan  dialami keluarga yang kehilangan orang tersayang, saya amat serba salah untuk bertanya soalan yang agak berkaitan kerana berkali-kali saya diberi peringatan pihak berkuasa agar tidak keterlaluan. 

bagaimanapun, saya berjaya juga mendapatkan maklumat yang diingini dengan syarat yang ditetapkan keluarga mangsa korban.  antaranya, tidak mengajukan soalan yang mengingatkan kembali mereka kepada ahli keluarga yang hilang. 

hari ke 7, kesedihan masih ada tapi tidak seperti hari pertama hingga ke 3 kerana masing-masing trauma dengan tragedi yang tidak diundang.  alhamdulillah, ia sedikit sebanyak memudahkan saya untuk mendapatkan visual dan jawapan yang dikehendaki.  namun, saya tidak dapat bertanyakan soalan berkaitan hari raya...ia amat sensitif bagi keluarga mangsa korban.

sepanjang perjalanan ke lokasi penggambaran, kami melihat kesan paras air yang berbekas di dinding rumah mangsa di kedah ini.  ada juga masa kami terserempak dengan warga kedah yang menjala, memancing dan ada juga yang menggunakan serkap untuk menangkap ikan.  cantik, tapi saya tak sempat nak merakam visual berkenaan memandangkan apa yang saya kehendaki belum dapat. 

saya amat berterima kasih kepada IPD Kota Setar Kedah, Bomba, sukarelawan dan ramai lagi yang memberi kerjasama terbaik kepada kami.  tanpa mereka agak sukar bagi saya mendapatkan maklumat dan mendekati keluarga mangsa.

hanya ucapan terima kasih yang mampu saya berikan.

korban banjir di kedah

Tadi kedengaran bunyi siren ambulan.  Dalam hati terlintas, siapa pulak yang sakit tu.  Sekarang terdengar pulak siren polis.  Jangan-jangan mangsa korban banjir yang masih belum ditemui dah jumpa kot.  Tapi, kalau dah jumpa mesti IPD Kota Setar akan hubungi saya. Lepas solat Jumaat saya akan ke Jalan Tanjung Bendahara.  Eh, sekarang saya terdengar pulak siren bomba.  Kenapa ye?

Alhamdulillah Shahnon dari 999 membantu saya mendapatkan 'contact person' untuk kisah korban banjir. Berdebar-debar jugak menunggu dia hubungi saya semula.

Semasa kat Perlis, adalah wartawan TV9 menghampiri saya, minta 'contact' no korban banjir.  Dengan wajah simpati, berkatalah wartawan tersebut.  "Kak, boleh tak minta nombor telefon orang yang terkorban tu, siapa nama dia ye?" Saya tanya balik, " You tak contact orang lain ke?, mangsa kat Langgar tu pun ada juga." "Tak de kak, kami tak de 'contact'.  Boleh la kak, lagipun story kami tak panjang seminit lebih je untuk NLKO." balas wartawan tu lagi.  "Bila siaran" tanya saya.  "Ahad ni kak" jawab wartawan tu. 

Dalam hati saya, bukan takde 'contact' mungkin tak cari pun.  Sebab saya tahu macaman susahnya saya nak dapatkan maklumat dan 'contact' mangsa yang ahli keluarga terkorban.  Tak bagi, tak baik la kan...satu syarikat beb...hehehehe.

Pada mulanya Rudainee yang anaknya masih lagi hilang memang tak nak ditemubual.  Mungkin masa saya dan Zakiah mendekati keluarganya dan kamipun tak bertanyakan soalan sensitif, akhrinya mereka bersetuju untuk ditemubual.  Lagipun IPD Kota Setar memberitahu sebelum ni yang mereka dah pun bertanya kepada Rudainee dan dia belum lagi bersedia untuk bertemu wartawan.  Tapi, selepas tu, saya dah pun dapat berbual dan alhamdulillah....  Dalam hati terlintas, mudah-mudahan rakan TV9 pun dapatlah juga.

Hari ini tinggal Rudainee dan isterinya saja saya nak jumpa. Tadi semasa menghubungi Alwi, sepupu Rudainee...dia kata ok, suami isteri tersebut masih ditemubual TV9. 


Tadi ke Kuala Sungai.  Tengok keadaan rumah, macam dilanda tsunami dulu. Persekitaran rumah kotor, lantai penuh selut, perabot pula tak boleh digunakan lagi. Dapatlah dilihat 'takat' bekas air banjir. Lebih 5 kaki paras air.  Kalaulah penduduk lambat selamatkan diri, kemungkinan terkorban ada.Banyak harta benda rosak.  Banyak belanja tu nak beli barang baru.

Oklah saya perlu menyambung tugasan dan kemudian bergegas pulang ke KL.  Mudah-mudahan saya selamat sampai, selamat menyunting, selamat berskrip...hehehe dan selamat diganggu hehehe





  

Tuesday, November 9, 2010

letchumy & vasanthi

sudut rumah letchumy -

anak letchumy - sakit buah pinggang

rumah vasanthi tunggu masa untuk rebah ke bumi

depan rumah letchumy...bagai melekat di dinding kilang je

bahagian depan rumah vasanthi

anak-anak vasanthi



masuk berhati-hati ya kalau tak kaki terperosok kat dapur tu




inilah keadaan rumah letchumy dan vasanthi semasa bersamamu melakukan lawatan sebelum penggambaran.  memang kawasan kilang itu tidak sesuai untuk diduduki keluarga ini.  tambahan pulak bau busuk bagai air longkang sentiasa menusuk hidung. 

lori besar yang membawa papan sentiasa keluar masuk.  rumah letchumy yang bagai ditampal di dinding kilang, tidak langsung selamat untuk diduduki.  dia sentiasa terdedah kepada 'lelaki hidung belang'.  rumah vasanthi pula amat daif, bila-bila masa saja kaki boleh terjerlus di lantai kayu yang agak rapuh.

saya terkesima apabila melihatkan tiada makanan di dapur.  yang ada cuma sup sayur 'rasem' yang dibuat daripada sayuran yang dihancur.  anak kecil vasanthi yang baru berusia tujuh bulan pula diberi susu pekat manis dan bukannya susu tepung.  sebak hati saya melihatkan suasana di rumah tersebut.  anak-anak vasanthi tidak seperti kanak-kanak lain yang aktif bermain.  mereka melemparkan senyuman kepada saya apabila saya bertanyakan samada dah makan atau belum. rupa-rupanya mereka cuma makan tosai pada paginya.   pada hal waktu dah masuk 3 petang.

pening saya dengan suasana yang bising daripada kilang, lori keluar masuk.  mujurlah saya berjaya mendapatkan bantuan makanan dan barangan untuk mereka.  balik ke ofis je, saya terus senaraikan barangan untuk dibeli sempena deepavali. 

malangnya, saya tidak dapat menghadirkan diri untuk penggambaran kerana perlu menyelesaikan beberapa tugas di pejabat.

namun saya gembira apabila wartawan bertugas memberitahu mereka amat gembira apabila dibelikan baju baru, makanan serta tilam bantal.

alhamdulillah, setakat ini ada beberapa pihak yang ingin membantu mereka.  moga mereka sekeluarga mendapat kehidupan yang lebih selesa.

Sunday, November 7, 2010

siaran 10 november 2010 : terlerai kasih

terlerai kasih memaparkan kisah kehidupan bapa tunggal enam anak yang hidup dalam kemiskinan.  kekurangan kepakaran untuk menguruskan perniagaan menyebabkan azhar tidak dapat memperolehi pendapatan secukupnya untuk keperluan seharian dia dan anak-anaknya.

sejak berpisah dengan bekas isteri, hidup azhar sekeluarga menghadapi kesukaran akibat bebanan hutang yang tidak dibuatnya.  wang yang diperolehi daripada perniagaan terpaksa digunakan untuk membayar hutang.

kami dihubungi beberapa jiran yang kasihan kepada kehidupan azhar yang tidak sesempurna keluarga lain.  anak-anak pula terpaksa ponteng sekolah kerana azhar tidak mampu menghantar mereka ke sekolah apabila dia kehabisan wang untuk mengisi minyak motor atau ketika motorsikal meragam.

menurut jirannya lagi, mereka bersimpati dengan anak-anak azhar yang semakin kurus dan apabila disiasat, rupanya mereka terpaksa mengikat perut.

masalah kewangan menyebabkan azhar tidak dapat berfikir untuk memajukan perniagaannya.  kami melihat lokasi perniagaannya berpotensi untuk maju tetapi kaedah pemasaran yang lemah menyebabkan pelanggan kurang.

bagi anda yang ingin menghulur derma kepada keluarga yang memerlukan, bolehlah menderma atau hulurkan bantuan anda :

AKAUN MAYBANK TABUNG TV3 BERSAMAMU BSM: 5643 2412 9973

terima kasih.

hulurkan tangan ringankan beban...

Assalammualaikum,

Terima kasih kerana sudi melewati blog ini. 

Kami amat menghargai pandangan positif anda mengenai program Bersamamu yang sentiasa membantu mereka yang di dalam kesusahan.  Tidak kira samada dari segi kewangan, pendidikan, sokongan moral dan lain-lain yang positif.

Bersamamu mewakili semua kaum tanpa mengira agama. Kami mengalu-alukan anda yang sudi berkongsi maklumat mengenai mereka yang amat memerlukan tidak kira di mana sahaja mereka berada.

Jika ada antara anda yang terserempak dengan keluarga yang amat memerlukan seperti, ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak-anak yang ramai dan masih bersekolah, ahli keluarga yang sakit kronik dan memerlukan bantuan perubatan dan kewangan, golongan OKU atau institusi/organisasi kebajikan yang kesemuanya ingin maju ke depan dan keluar daripada kemelut kemiskinan.

Kami amat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada Bersamamu selama ia dipaparkan di kaca tv.