Thursday, December 30, 2010

cabaran

2010 sampai ke penghujung.  2011 muncul. 

usia makin meningkat.  ada yang bijak mengurus masa, wang serta hidup.  ada pula buntu. 

ada keluarga yang sanggup mengikat perut untuk pembelajaran anak-anak.  ada pula yang mengharap bantuan semata-mata.

apabila menjadi ketua keluarga adalah penting untuk mereka menunaikan tanggungjawab dengan bijak.  tanggungjawab kepada keperluan harian keluarga seperti makan, minum, pelajaran anak-anak serta keperluan rohani.

bagaimanapun tidak semua yang diharapkan akan menjadi seperti yang dirancang.

ada keluarga yang pernah dibantu masih tidak dapat mencari jalan keluar untuk hidup yang lebih baik.  ada pula yang bijak dan hidup semakin baik.  tapi, jumlahnya amat kecil.

anak-anak nak masuk sekolah, maka bertali arus panggilan diterima kerana tidak mampu nak beli kelengkapan sekolah anak-anak.  ada juga yang tak mampu nak bayar yuran dan mohon bersamamu membayar. 

tahun depan kami amat berharap ada pihak yang sudi memberi peluang pekerjaan atau apa sahaja kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk sekurang-kurangnya ada punca pendapatan. 

moga mereka yang memberi bantuan kepada beberapa insan bersamamu sebelum ini murah rezeki dan dipermudah segala urusan.

bagi keluarga yang pernah dibantu, tolong cari jalan terbaik untuk hidup yang lebih baik.   kita beri peluang kepada orang lain pula untuk dibantu. 

jangan rasa rendah diri dan menganggap orang tidak mahu membantu.  selalunya orang yang tidak meminta-minta, Allah permudah urusan, tapi dengan syarat, mintalah, berdoalah pada Allah disusuli dengan usaha dan tawakkal, insyaallah ada sahaja jalan keluar.

Rezeki setiap manusia memang telah ditentukan Allah.  Itu memang tidak dinafikan lagi.  Hubungan dengan Allah perlu dijaga.  Ini yang kita perlu muhasabah kembali.  Jangan salahkan sesiapa.  Jangan tuding jari kepada orang yang diminta bantuan jika tak dapat.  Mesti ada sesuatu yang kita 'tersalah' laku, sebab itu perjalanan tak mudah. 

Ada orang yang rezekinya sedikit sangat tapi hidup senang.  Ada yang rezeki banyak amat, tapi hidup derita.  Fikirkan.

Selamat tahun baru.  Moga Allah berkati kita semua dan dipermudah segala urusan dengan izinNya. 

Setiap amal dan dosa akan dikira walau sebesar zarah.  Allah Maha Pengasih dan Penyayang. 

Tuesday, December 28, 2010

alahai ada juga manusia macam ni

semalam, baru dapat tahu pasangan suami isteri yang anak mereka terencat tu, yang menjaja kisah sedih mereka, ada hati nak 'pau' wartawan lain. 

lakonannya yang berjaya meraih simpati maria t. sabri, sekali lagi digunakan untuk mendapat wang mudah.  mujur saya sempat menelefon joe supaya jangan memberi wang.  walaupun dah dapat duit rm50 daripada maria, masih lagi dia buat cerita yang dia tak ada duit langsung.

rupa-rupanya pembantu penerbitan saya, megat dah pernah berjumpa dengan wanita ni 2 tahun lepas.  kisah sama tapi, masa tu suami orang lain.  dia jaja kisah sedihnya dengan menggunakan anaknya yang terencat akal. 

simpati dengan wanita ini, akhirnya megat berjaya juga mendapatkan pekerjaan pengawal keselamatan.  tapi, bila megat terjumpa dia masa dok minta duit tu. megat tanyalah kenapa tak kerja lagi? kenapa meminta?  jawabnya, susahlah tak serasi dengan jiwanya.  amboi.  ada juga manusia macam ni?

nak dapat duit dengan mudah.  kepada yang di luar sana, hati-hati bila ada orang meminta duit dengan menjaja kisah sedih.  ada yang benar ada banyak yang tak betul kisah mereka.

saya bukan menuduh, tapi, saya pernah terkena di shah alam.  disebabkan mudah dapat wang dengan kisah anak yang sakit, akhirnya mereka malas nak bekerja.  tak baik macam tu.

Monday, December 27, 2010

mengharap bantuan datang...

jumaat lepas, dapat panggilan dari jerantut.  pemanggilnya adalah 'subjek' bersamamu. 

dia pernah datang ke sri pentas, semata-mata ingin bertemu dengan wakil bersamamu.  malangnya, semasa dia datang, semuanya keluar melakukan tugasan masing-masing.

disebabkan suasana bising dan panggilannya terputus-putus saya tidak dapat bertanya lanjut.  cuma yang kedengaran adalah pertanyaannya. "bila nak datang ke jerantut?".

fahamlah saya, dia ingin kami membantunya.  maklumat yang saya tahu, suaminya, sakit jantung, darah tinggi, buah pinggang... dia perlukan rm17,000 untuk membeli mesin.

saya belum siasat lagi latarbelakang.  masa belum mengizinkan lagi.

pengalaman saya dan bekas penerbit bersamamu, jika orang itu sendiri yang menelefon untuk masuk dalam bersamamu, mereka di dalam kategori tak layak.  dah banyak kali saya pergi meninjau dan menyiasat.  mereka memang susah tapi tidaklah sesusah orang lain.  makan cukup, cuma kena usaha lebih sikit untuk mencari rezeki. 

ramai yang salah faham.  mereka sangkakan jika kami masukkan dalam episod bersamamu, mereka akan mendapat wang tunai pada masa itu.  sebenarnya tidak juga.  setakat ini, hanya beras faiza yang memberi wang tunai dan juga beberapa institusi lain yang ikut sama.  itu je.  lain dikira bonus jika kisah mereka dipaparkan.

pernah beberapa kali kami mendapat panggilan telefon yang mahukan wang tunai segera.  ramai yang salah faham.  ada yang mendakwa tiada makanan, kelengkapan sekolah anak-anak belum dibeli sebab tiada wang. 

memang kami ingin membantu.  tapi, sukar nak membantu dalam bentuk wang tunai kerana bantuan adalah kepada keluarga yang benar-benar daif, sakit atau sebagainya yang sesuai dimasukkan dalam bersamamu.

kisah ibu tunggal memang banyak.  tapi, takkanlah setiap episod hanya kisah ibu tunggal yang nak dipaparkan.  tambahan pula ada yang tidak pandai cari jalan keluar.  hanya mengharapkan duit dari jabatan kebajikan masyarakat atau zakat sahaja.  kalau anak-anak masih kecil dan tidak ada sesiapa nak jaga fahamlah kami.  tapi, ada juga anak-anak dah masuk menengah dan mereka beri alasan tiada orang di rumah untuk menjaga anak-anaknya. 

susah untuk dibantu kerana dia tiada aktiviti yang boleh menunjukkan dia ingin keluar daripada belenggu kemiskinan dan majukan diri.  lagipun kes macam ni memang banyak. 

bagaimanapun, kami kena pilih kes yang betul-betul memberi manfaat kepada keluarga tersebut dan juga boleh dijadikan iktibar kepada yang menonton.

bukan mudah hendak memilih untuk kes bersamamu.  ada yang tak faham, menuduh kami tak prihatin. 

kami kini berhati-hati apabila menerima panggilan orang yang ingin memberi kes.  kami tak boleh berjanji apa-apa kerana ramai yang salah faham. ramai yang menganggap, apabila mereka buat laporan, kami akan bertindak segera.  sebenarnya ramai lagi yang menunggu...

Friday, December 24, 2010

terkena!

pagi tadi semasa sibuk 'sub script' untuk episod minggu depan, saya dikejutkan dengan sms teman sekerja, kak zana. 

rupa-rupanya ada sepasang suami isteri ingin berjumpa dengan saya.  mujurlah kak chah, pengawal keselamatan tv3 dan kak zana menangani suami isteri ini.

terima kasih kak zana kerana berjumpa dengan suami isteri ini yang kononnya datang semata-mata ingin berjumpa dengan wakil bersamamu untuk masalah mereka hadapi.

isterinya berbaju kurung cantik.  suami sihat walafiat.  anaknya saja yang kurang sempurna, terencat akal.  daripada perbualan kak zana, wanita ini merayu untuk bertemu kami sambil menyatakan mereka tiada wang, habis digunakan untuk datang ke tv3.  tetapi daripada perbualan, mereka ini nak wang tunai. 

kisahnya, wanita ini bersama suami keduanya datang ke tv3 kerana ingin mempertemukan anaknya sekarang dengan anak bersama suami pertamanya dulu.   kira macam jejak kasihlah.  tapi, kalau nak masuk bersamamu memang tak sesuai.  ya lah, suami tu sihat walafiat, isterinya si tukang cerita, menggunakan anaknya yang terencat akal untuk meraih simpati.

jadi, setelah itu ini diceritakan, memang tak sesuai untuk bersamamu.  mereka disuruh pulang, tetapi mereka enggan kerana tak cukup duit, kata merekalah.

sambil saya melayan skrip Johari, dapat pula panggilan daripada maria t. sabri yang baru keluar dari bank. rupa-rupanya pasangan ini bertemu maria di hadapan pintu bank sebelah sri pentas.  dengan tangisan pasangan inipun menceritakan kisah tragisnya.

maria yang kesiankan kepada pasangan inipun memberi rm50 ringgit dan terus membawa mereka untuk dipertemukan dengan kami.  saya dapati 3 'missed' calls daripada maria.  telefon bimbit saya 'senyap'.  patutlah tak dengar. 

saya telefon maria kembali, mariapun berceritalah.  saya bertanya maria, adakah pasangan suaminya sempurna sifat? sihat? isterinya berbaju cantik? mekap lagi... maria kata ye... jadi beberapa ketika kemudian kak chah pun telefon saya.  rupa-rupanya pasangan ini kalau karnival jom heboh pasti mereka ada di sana untuk meraih simpati.

kesimpulannya... menggunakan anak untuk dapat duit segera.  ini bukan kes pertama bagi saya. 

bagaimanapun, saya meminta johari mengambil nama penuh, nombor untuk dihubungi dan juga alamat sebagai rujukan.  kami tidak pernah menolak walau apa kes pun yang datang.

yang di luar sana, berhati-hatilah bila ada emel yang meminta bantuan supaya memasukkan wang ke dalam akaun.  kami dah terkena dengan keluarga yang anaknya sakit di shah alam.  daripada wang terkumpul, anaknya sepatutnya dah menjalani pembedahan, mereka sepatutnya berhenti meminta tolong orang ramai kerana wang melebihi daripada diperlukan.

keluarga ini menggunakan anak dan ayahnya yang sakit sebagai umpan.  setelah disiasat, 2 buah kereta dibeli tunai.  motor 5 biji.  rumah pprt.  entah siapa yang tinggal bersama.  ibunya buat kerja memasang alat elektronik di rumah, memang orang ramai akan bersimpatai.

saya masuk dan siasat, bilik yang dilarang kami masuk rupa-rupanya ada astro dan seorang lelaki yang bukan keluarga mereka.  kuih pau tak dimakan bersepah. 

soalnya, adakah mereka menghargai makanan? pemberian ehsan?  adakah mereka menggunakan wang dengan betul?

tip dari saya, bila nak menderma, sila bertanya kepada jiran terdekat kepada keluarga itu, atau kepada ketua kampung atau sesiapa yang mengenali.  jangan tanya seorang saja, mungkin ada yang tak puas hati dengan keluarga itu mereka mungkin membawa cerita yang kurang enak.  sekurang-kurangnya carilah sampai 3 sumber.

Tuesday, December 21, 2010

jika diberi peluang kedua

bayangkan, jika kita dilahirkan dalam keluarga yang kucar-kacir. ibu, kakak atau adik pelacur.  abang, anak atau saudara lelaki penagih dadah.  kita pula disahkan menghidap HIV atau AIDS.

dapatkan kita menerima hakikat?  apakah kita akan terus terkesima? adakah kita akan menjerit menyalahkan sesiapa saja yang terlintas di fikiran?

jika diberi peluang kedua, apakah yang terlintas di fikiran? 

seringkali, kita sebagai mangsa memikirkan apa kata orang.  kita sering takut dengan tanggapan orang lain yang kadang kala tidak langsung mengenali atau mengetahui kewujudan kita.  kita takut dengan pandangan masyarakat yang langsung tidak membantu untuk kita maju ke depan.

pastinya ramai yang mencemuh.  pernahkah ada di antara kita menoleh untuk kali kedua kepada mereka yang pernah terlanjur.  tidak kira samada mereka telahpun insaf dan meninggalkan pekerjaan atau tabiat buruk.  misalnya kepada insan yang pernah menjual diri, terjebak dengan penagihan dadah secara sengaja dan tidak,  dijangkiti penyakit yang dipandang jijik dan kotor. 

akan adakah peluang kedua untuk mereka.  kepada siapakan mereka akan mencurahkan perasaan berbuku di hati?  sudikah ada insan yang memberi nasihat dan menunjukkan jalan lebih bercahaya untuk mereka harungi?

kenapa cemuhan yang mereka terima?  kenapa tuduhan dan kata-kata kesat dijadikan halwa telinga mereka?  mereka juga manusia. 

Allahpun Maha Pengampun.  Siapakah kita untuk menghukum mereka yang ingin peluang kedua? 

Anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan.  Masih adakah lagi sinar untuk mereka mengubah hidup yang terlajak tanpa mereka dapat memilih?

Jangan dipandang hina insan yang terjebak tanpa rela atau rela, terutama yang ingin kembali ke jalan yang benar.  Yang tidak mahu lagi tersangkut di alam palsu. 

Kini, mereka dahpun insaf.  semua manusia pernah melakukan kesalahan,  kecuali Nabi Muhammad Sallullahu'alaihiwassalam.

Bersamamu siaran minggu pertama Januari cuba mengupas hidup insan-insan yang terpinggir tanpa diendah. 

Tuesday, December 14, 2010

wajah baru...

kita dahpun berada pada tahun baru 1432 hijrah dan beberapa hari lagi je akan masuk tahun 2011. 

biasanya masa inilah ramai berazam membina hidup baru atau menjalani hidup yang lebih baik.  ada pula yang ingin hidup berkongsi suka duka bersama.  ada pula yang terus meninggalkan kisah duka yang pernak mencarik hati. 

namun, ada juga menyambut tahun baru tanpa apa apa perubahan.  'let it be'.

bersamamu pula akan meninggalkan musim ke 22nya dan musim ke 23 akan menjengah pada 2011.  jika ada yang perasan, kita secara perlahan-lahan memberi pendekatan berbeza daripada bersamamu musim-musim lalu. 

terima kasih kepada penerbit eksekutif yang kreatif, hisham abdullah.  sentuhannya bagaikan 'magis'.  sentiasa tertunggu-tunggu idea bernasnya.  buatkan kami bersemangat untuk menghasilkan episod yang boleh diingati sesiapa yang menonton...

mudah-mudahan akan ada 'advance' untuk beberapa minggu dan dapatlah 'team' bersamamu menghasilkan episod yang berkualiti dan lebih baik daripada setiap episod yang disiarkan... insyaallah.

'team' bersamamu kali ini agak unik. 

jom kita bekerja dengan ikhlas...Allah pasti menunjukkan jalan yang baik.  mudah-mudahan setiap orang akan memikul tanggungjawab sebaik mungkin. kepada yang lama dan baru...jom kita mulakan dengan semangat kerjasama tanpa sempadan, buat yang terbaik daripada yang terbaik.

janganlah kita fikir kita lebih baik daripada orang lain kerana ada orang lain yang lebih baik tapi dia tak tahu pun dia lebih baik daripada orang lain. 

orang yang bijak tidak akan mengaku dirinya bijak. 

yang penting hasil.

apa kata celupkan seruas jari ke dalam air laut.  maka air laut yang melekat (basah) pada jari kita itulah ilmu Allah yang kita dapat pelajari dan air laut yang terbentang luas di bumi ini adalah ilmu yang kita masih belum pelajari.  betapa luasnya ilmu Allah...yang tak tercapai oleh kebijaksanaan insan.

Ya Allah permudahkanlah tugas-tugas kami.  bantulah kami menjalankan amanahmu.  Kami ikhlas bekerja membantu mereka yang memerlukan keranaMu.